DISEMBER 2023

Peluang Dagangan UK, Sarawak Terbuka Luas


LONDON: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang berkunjung ke United Kingdom (UK) semalam menemui anggota Parlimen dan Pengerusi Majlis Perniagaan dan Pelaburan Komonwel, Lord Jonathan Peter (Lord Marland) di sini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak bertukar-tukar idea dengan Lord Jonathan mengenai perkara yang mempunyai kepentingan bersama antara Sarawak dan UK terutama dalam bidang pelaburan dan perdagangan.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) , Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Datu Lester Matthew, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni, Naib Presiden Kanan PETROS, Abang Arabi Abang Narudi dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong.

Dengan peluang bagi mewujud kolaborasi antara Sarawak dan UK, Awang Tengah mempelawa Lord Marland melawat Sarawak bagi menerokai potensi kolaborasi kerjasama itu.

Perdagangan Malaysia dengan UK bernilai RM17.57 bilion pada 2022 (2021: RM17.18 bilion), manakala dagangan Sarawak dengan UK bernilai RM150.7 juta pada 2022 (2021:RM74.9 juta). Peluang perniagaan melintasi sempadan dalam dagangan barangan dan perkhidmatan antara Sarawak dan UK terbuka luas.

Selain dagangan, jumlah pelaburan dari UK ke Malaysia dari tahun 2013 hingga 2023 berjumlah RM8.6 bilion, terutama dalam pengilangan produk seperti peralatan elektrik, peralatan perubatan, produk kimia dan perkhidmatan.

Dalam tempoh sama, jumlah pelaburan dari UK ke Sarawak bernilai RM345 juta, khusus dalam sektor pengilangan petrokimia dan gas perindustrian.

Lord Marland adalah Duta Dagangan Perdana Menteri Britain dan Pengerusi Jaringan Duta Perniagaan Pelaburan dan Perdagangan UK antara 2011 dan Januari 2014.

Lord Marland dilantik menjadi Menteri Jabatan Tenaga dan Perubahan Iklim pada 2010 dan kemudian Menteri Hartanah di Jabatan Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran pada 2012.

Beliau terlibat aktif dalam dunia perniagaan dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi Bspoke Insurance Group Ltd dan EcoWorldManagement dan Khidmat Nasihat (UK) Ltd. Beliau juga anggota Jawatankuasa Penasihat Pelaburan Lembaga Pelaburan Kuwait.

Sumber dari : Jiwa Bakti